KEMENTERIAN PERTAHANAN KINI BERTANGGUNGJAWAB JAGA PERAIRAN TIMUR SABAH
Kuala Lumpur, 14 Mac - Kementerian Pertahanan kini bertanggungjawab
menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di
bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menterinya
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan arahan terbaharu itu,
perairan Sabah yang dikawal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya dengan dibantu Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM).
"Saya menerima 'command' (kuasa pemerintahan) ini Jumaat lepas, yang
suratnya telah diserahkan kepada saya oleh Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri yang bertanggungjawab berhubung
APMM.
"Command APMM di Sabah telah diserahkan kepada saya
(Kementerian Pertahanan), tidak lagi di bawah JPM," katanya kepada
pemberita selepas menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera
Singapura, Leftenan Jeneral Neo Kian Hong di Kementerian Pertahanan di
sini hari ini.
Ahmad Zahid menyifatkan penyerahan rasmi
tersebut adalah perlu untuk mengkoordinasikan antara operasi yang
dilakukan TLDM dan APMM.
"Saya mengucapkan terima kasih atas
kepercayaan timbalan perdana menteri dan insya-Allah saya akan mengambil
tanggungjawab ini untuk mempertahankan dan mewujudkan tanggungjawab
'surveillance' (pengawasan) di kawasan 1,400 km
persisiran pantai dan kawasan perairan di timur Sabah ini," katanya.
Beliau berkata dengan penyerahan ini bermakna, Kementerian Pertahanan
akan membantu APMM dari segi penambahan aset baharu dan keperluan lain
yang perlu dibincangkan lanjut dengan Muhyiddin dan Ketua Pengarah APMM
Laksamana Maritim
Datuk Mohd Amdan Kurish.
Menjawab soalan
berhubung tangkapan di Sabah, Ahmad Zahid berkata: "Kita mempunyai
hubungan yang baik dengan Filipina dari segi pertahanan. Setiausaha
Pertahanan Filipina Voltaire T Gazmin telah hubungi saya melalui telefon
dan beritahu beliau telah mobilisasikan tentera laut dan pengawal
pantai.
Katanya tangkapan yang dilakukan mempunyai dua bentuk
iaitu mereka yang bakal menjadi penceroboh, iaitu yang datang dari
kepulauan Sulu, ataupun yang datang dari perairan Malaysia masuk ke
tempat mereka.
Mengenai lawatan tersebut, Ahmad Zahid
menjelaskan ia adalah lawatan perpisahan Kian Hong kerana akan
meninggalkan Angkatan Tentera Singapura sebelum bertugas dalam sektor
awam.
"Dalam perbincangan itu, saya ada jelaskan apa yang
berlaku di Lahad Datu. Tentunya walaupun mereka tak akan campur tangan
dalam soal domestik di Malaysia, tetapi saya fikir sebagai sebuah negara
Asean, mereka turut prihatin dengan permasalahan yang kita hadapi
sekarang," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...