5.2.2013
KOTA BHARU – Tujuh projek besar yang
diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika lawatannya ke
Kelantan baru-baru ini bagi memajukan negeri itu menjadi topik “panas”
dalam kalangan penduduk Kelantan.
Pembangkang, khususnya PAS, pada ceramah
mereka cuba meredakan keterujaan anak Kelantan dengan mendakwa itu
janji palsu dan Barisan Nasional (BN) hanya mahu memancing undi pada
Pilihan Raya Umum ke-13.
Namun, banyak pihak melihat pengumuman
perdana menteri itu membuatkan PAS umpama “cacing kepanasan” kerana
tujuh projek terbabit adalah prasarana yang sangat diperlukan rakyat dan
PAS gagal melaksanakannya sekalipun mentadbir Kelantan lebih 22 tahun
sejak 1990.
Tujuh projek itu ialah pembinaan lebuh
raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baru, masjid terbesar yang akan
menjadi ikon Kelantan, perumahan rakyat yang dimulakan dengan pembinaan
3,000 unit, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, penubuhan kampus
bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kapasiti 5,000 pelajar
dan projek bekalan air bersih.
Pengumuman Perdana Menteri itu menjadi
bahan bualan baik di kedai kopi mahupun ketika kenduri-kendara dan orang
ramai yang ditemui menyifatkan projek terbabit bakal membawa faedah
besar kepada mereka selain yakin kerajaan BN akan menunaikan janjinya.
Azlin Mohamad Yusof, 34, pemilik
restoran di Pengkalan Chepa, berkata banyak projek yang dilaksana
kerajaan persekutuan memberi faedah kepada rakyat termasuk golongan
peniaga, umpamanya pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail di
Pengkalan Chepa yang menyaksikan peningkatan pengunjung ke restorannya.
“Restoran yang saya usahakan berhampiran
dengan lapangan terbang ini mendapat sambutan menggalakkan apabila
orang ramai yang menggunakan lapangan terbang ini singgah untuk menjamu
selera di sini,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan kampus
Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa turut memberi limpahan
rezeki kepadanya dan peniaga sekitar apabila pelajar dan staf universiti
itu singgah menjamu selera.
Seorang pengusaha ternakan kuda, Che
Azha Che Mamat, 45, dari Kampung Teluk Kitang, Jalan Sabak, Pengkalan
Chepa, yakin tujuh projek besar yang diumum Perdana Menteri akan jadi
kenyataan sekali gus menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi
masyarakat Kelantan.
“Kita lihat parlimen Pengkalan Chepa
adalah kubu kuat PAS di mana Dewan Undangan Negeri Chempaka diwakili
Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun kerajaan persekutuan
membina projek besar termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail
Petra, mewujudkan Universiti Malaysia Kelantan dan membina benteng
penghadang ombak bagi menyelamatkan pantai Sabak dan sekitarnya daripada
musnah ditelan laut,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan projek besar terbabit akan menggalakkan sektor pelancongan termasuk sukan berkuda.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor
Melayu Negeri Kelantan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz melihat pengumuman
Perdana Menteri itu sebagai “aku janji” dan bukan gimik politik
menjelang pilihan raya umum.
“Hampir empat tahun Najib menjadi
Perdana Menteri, kesemua janji yang disebut semuanya ditepati dan tujuh
projek besar itu jelas adalah perkara keperluan utama rakyat yang gagal
ditunai oleh PAS walaupun mereka berjanji untuk membina lebuh raya,
stadium, masjid negeri, menyelesaikan bekalan air bersih, projek
perumahan rakyat… satu pun tidak ada,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan jambatan kedua
Sultan Yahya Petra menghubungkan Pasir Pekan di Tumpat dan Kota Bharu
yang hampir siap, membuktikan kerajaan persekutuan prihatin dan ingin
menyelesaikan kesesakan teruk yang terpaksa ditempuhi pengguna jambatan
itu selama ini.
“Pembinaan jambatan itu bukan saja
menyelesaikan masalah kesesakan trafik tetapi juga melonjakkan
pembangunan hartanah di jajahan Tumpat yang agak ketinggalan berbanding
bandar lain,” katanya.
“Pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya
Petra yang dilaksanakan kerajaan persekutuan memberi nilai tambah yang
amat tinggi di kawasan jajahan Tumpat, contohnya satu lot tanah seluas
5,500 kaki persegi yang bernilai RM35,000 kini meningkat kepada RM70,000
hingga RM80,000,” kata Mohd Rosdi yang juga Pengerusi Eksekutif
Konsortium Kontraktor Melayu (Kelantan) Sdn Bhd.
Beliau juga yakin pemimpin PAS yang
kerap membuat tohmahan terhadap projek pembangunan yang dilaksana
kerajaan BN juga tanpa silu akan turut menggunakan jambatan kedua itu
serta tujuh projek besar terbabit apabila siap kelak.
Mohd Rosdi juga yakin pelaksanaan tujuh projek besar itu akan memberi peluang kepada kontraktor dan pekerja tempatan.
– BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...