KUALA LUMPUR, 5 FEB 2013: Sebaik saja kumpulan Jambu
yang dianggotai Yus dan Tauke diumumkan sebagai naib johan program
Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM), Yus secara rasminya telah mencanang satu
Malaya bahawa dia akan menggunakan wang kemenangan tersebut untuk
mengadakan majlis perkahwinannya nanti.
Namun, sehingga ke hari ini, Yus atau nama sebenarnya Yussry Edo,37,
masih belum memberitahu identiti sebenar wanita yang telah pun bertakhta
di hatinya sekaligus memikat hati Yus untuk menjadi suri dihatinya.
"Saya ni bukan jenis perahsia. Kalau ikutkan hati saya, saya nak
beritahu semua bahawa dia adalah bakal isteri saya. Namun, demi
menghormati permintaannya, saya rahsiakan dulu foto dan nama sebenarnya.
"Namun, untuk tidak mengecewakan orang yang dah bertanya, saya akan
memberitahu sedikit demi sedikit siapakah dia orangnya. Nama pangkal dia
adalah B dan dia berasal dari Taiping. Dia bekerja sebagai setiausaha
ahli korporat dan juga model sambilan. Dia berumur 32 tahun.
"Saya baru saja empat bulan mengenalinya. Saya kenal dia pun menerusi
facebook. Alhamdulillah, setakat ini saya suka dan mahu dia jadi isteri
saya kerana dia sangat memahami saya," katanya.
Membicarakan soal tarikh kahwin, Yus mengakui dalam persiapan menuju ke
alam perkahwinan. Namun, Yus memberitahu berkemungkinan besar tidak
akan bertunang kerana pernah kecewa dengan episod pertunangan sebelum
ini.
"Ya, saya akan berkahwin dengan dia. Namun, tarikh yang tepat masih
belum ada. Mungkin paling cepat tahun ni paling lewat pun tahun depan.
Walaupun masih belum bertarikh, saya sudah merancang untuk membuat
majlis kahwin ala kampung di pihak saya di Perlis nanti.
"Saya suka dia sebab wajahnya persis gadis kampung. Apabila saya kenal
dia menerusi facebook, selama dua minggu dia tidak pernah tahu saya ini
adalah artis atau pun Yus Jambu. Sehinggalah satu hari, kawan dia
memberitahu dia dan dia sendiri bertanyakan identiti saya.
"Selepas kenal dan tahu siapa saya, dia tersangatlah memahami kesibukan
saya. Dia pun wanita yang mempunyai wawasan dan bekerjaya. Setakat ini,
saya sudah pun berjumpa dengan ahli keluarganya. Tapi saya belum datang
ke rumahnya di Taiping. Kami berjumpa pun tatkala keluarganya datang ke
Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini," jelasnya.
Meneruskan cerita, Yus bersyukur ayah dan keluarga wanita itu
menerimanya dan memberikan pandangan positif terhadap hubungan mereka.
"Ayah dia yang nak berjumpa dengan saya. Dia nak kenal identiti dan
perlakuan saya. Alhamdulillah, mereka suka saya dan mengatakan saya
tidak seperti yang disangkakan. Maksudnya, pada mulanya mereka ingatkan
saya ni kategori artis sombong dan belagak, tapi sebenarnya saya tidak.
"Saya pun mesra dengan keluarga dia. Ayah dia pun sporting dan sekepala
dengan saya. Saya rasa saya tidak akan bertunang dengan dia. Kalau
bertunang pun sekejap saja. Dulu saya dah 4 tahun menghadapi dilema
bertunang.
"Terus-terang, saya sudah lama tidak merasa perasaan gembira sebegini.
Jadi, doakanlah saya bahagia dan hubungan saya kekal selamanya,"
jelasnya.
Sementara itu, Yus berjanji apabila tiba waktunya nanti, dia akan beritahu dan mendedahkan wajah kekasihnya itu.
- BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...