10 April 2013                     

Shaheizy Sam
Shaheizy Sam
Yana Samsudin
Yana Samsudin
Wawa Zainal
Wawa Zainal
Teka-teki siapakah pemenang bagi setiap kategori dipertandingkan dalam Anugerah Bintang Popular 2012 (ABP) termasuk kategori utama Bintang Paling Popular 2012 sudah pun diketahui.

Namun, kata orang, rumah sudah siap, pahat kini masih berbunyi apabila kedengaran cakap-cakap belakang mengenai kemenangan Shaheizy Sam, Wawa Zainal dan Yana Samsudin pada malam itu diatur oleh Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), Mejar David Teo.

Ada pihak mendakwa, David membeli undi untuk memastikan artis di bawah naungannya, Sam, Wawa dan Yana bawa pulang trofi pada malam itu.

Bagaimanapun, dakwaan sebegini bukan kali pertama timbul dalam sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular kerana sebelum ini, Tasha Shilla pernah dikatakan mendapat tajaan dari seorang VIP yang membeli akhbar untuk mengundi Tasha.

Justeru, bagi mengelak spekulasi liar ini terus mencemari industri, Zass mendapatkan David bagi kepastian.

Sebaik diaju mengenai isu membeli undi, David tidak mudah melatah, sebaliknya sempat berseloroh mahu mengajak pihak yang menyebarkan cerita itu untuk keluar makan bersama.
Menjelaskan mengenai perkara itu, David berkata, pihak MIG sememangnya ada menghantar borang undian, namun tidaklah sampai membeli undi.

“Ada kalanya sekali-sekala, pegawai saya akan membeli dua akhbar untuk mengundi Sam, Yana dan Wawa atau pun mereka akan menghantar undian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Takkan itu pun salah? Lagi pun ia sebagai salah satu tanda sokongan kami buat mereka.

“Tetapi, saya tidaklah sampai membeli akhbar sehingga satu lori semata-mata untuk mengundi mereka. Kalau benar saya suka membeli undi, dari 2000 ketika artis naungan saya tercalon dalam ABP, mereka pasti menang,” jelasnya.

Menurut David, kemenangan tiga artis naungan MIG itu adalah hasil daripada sokongan peminat dan orang yang berada di sekeliling mereka.

“Tidak guna kalau saya beli undi, tetapi mereka tidak terkenal dan tiada bakat. Kemenangan mereka pada malam itu adalah kerana mereka layak untuk memenanginya.

“Kalau kita lihat karier Yana, dia sudah berlakon sejak 10 tahun lalu, manakala Sam pula pernah memenangi Bintang Paling Popular pada 2010 dan Wawa pula adalah bintang yang semakin meningkat kini.

“Mereka semua ada peminat yang tersendiri dan untuk pengetahuan semua, Yana dan Wawa juga tidak menjangkakan kemenangan mereka pada malam itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, David sempat berkongsi perancangannya untuk membuat satu majlis tanda penghargaan dan meraikan kemenangan Sam, Yana dan Wawa, Jun ini.

Menurut David, Sam menerusi pertemuan bersamanya kelmarin telah melahirkan hasrat untuk menaja makanan pada majlis itu.

“Buat masa ini, saya masih menunggu jadual dari semua artis dan kemungkinan Jun ini adalah masa sesuai untuk kita raikan mereka,” katanya.


Peminat gerak gempur: Yana

Yana ketika dihubungi Zass turut merasa lucu dengan dakwaan berkenaan kerana dia sendiri tidak pernah melihat akhbar bertimbun di pejabat MIG jika benar dakwaan itu benar.

Bagaimanapun, ujar Yana, dia sememangnya tahu mengenai gerak gempur yang dilakukan kelab peminatnya dan Sam bagi memastikan mereka berdua membawa pulang trofi tersebut.

“Saya tak terfikir David akan membelanjakan wang yang besar hanya untuk kami menang kerana saban tahun bukan kami sahaja yang bertanding. Namun, saya rasa agak lucu dengan dakwaan mereka yang mengatakan David membeli undi dan pastinya dakwaan itu tidak benar.

“Apa yang pasti, peminat saya telah melakukan gerak gempur mereka, malah kawan-kawan kakak saya di kampung turut memaklumkan pada saya, mereka telah mengundi saya,” katanya yang turut merakam penghargaan buat peminat di atas kejayaannya merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Popular, buat julung kalinya.


Wawa terkejut

Sementara itu, Wawa Zainal mengakui agak terkejut dengan pertikaian dari orang luar mengenai kemenangannya itu. Menurut Wawa, peminat mungkin memilihnya memenangi
Artis Baru Wanita Popular, selepas melihat lakonannya dalam Cinta Qaseh yang disiarkan di TV3, baru-baru ini.

“Saya tak kisah dengan apa orang cakap, tapi saya agak terkejut dengan dakwaan berkenaan. Saya harap perkara ini tidak berlanjutan,” katanya