Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan bahawa projek itu akan ditangguhkan disebabkan perkara itu kerana projek berkenaan sedang berjalan dengan lancar dan menepati jadual pelaksanaan.
“MRT Corp ingin menyatakan bahawa projek MRT sedang berjalan lancar dan tidak mengalami apa-apa kekurangan tenaga kerja. Tiada petunjuk bahawa projek akan ditangguhkan kerana sebab ini.
“Semua kontraktor MRT Sungai Buloh-Kajang Line (SBK) tidak pernah menyatakan sebarang kebimbangan berhubujng bekalan tenaga buruh tempatan mahupun asing termasuk sebarang ketidakupayaan untuk memenuhi tanggungjawab kontrak,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru Azhar berkata, kerja-kerja pembinaan sedang mengikut jadual dan mengulangi keyakinan operasi fasa pertama Jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari Sungai Buloh ke Semantan pada akhir tahun 2016 manakala fasa kedua pada Julai 2007.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa MRT Corp mengamalkan standard yang tinggi dari segi penempatan untuk pekerja bagi projek itu dengan mengamalkan Konsep Kuarters Buruh Berpusat (CLQ).
Katanya, sebanyak empat CLQ dibina bersempena projek MRT membabitkan penempatan sebanyak 12,000 pekerja yang diperlukan untuk projek itu.
Azhar seterusnya berkata, pihaknya juga berharap CLQ akan menjadi satu standard baharu dalam industri yang melibatkan penempatan tenaga kerja dengan berfungsi sebagai bandar mini untuk golongan itu.
Antara kemudahan asas disediakan di CLQ termasuk gelanggang futsal, kemudahan mencuci dan kafeteria yang menghidangkan makanan percuma mengikut jadual.
0 comments:
Dí lo que piensas...