3.2.2013
KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran
Malaysia tetapi popular sehingga ke peringkat antarabangsa, Yuna Zarai
memberitahu yang dia menjadikan laman sosial sebagai penghubung dengan
peminat kerana tidak mahu peminatnya berasa tersisih.
Walaupun Yuna berada jauh di negara
orang, dia ingin peminat mengetahui perkembangannya jadi dia menggunakan
laman Twitter, Instagram dan Facebook sebagai pengikat antara dirinya
dengan peminat di Malaysia.
Menurutnya, jika ada kelapangan dan
tidak sibuk dengan kerja-kerja rakaman, Yuna yang mempunyai syarikat
rakaman sendiri, Yuna Room Records, dia sering mengemas kini
perkembangan terbaru.
Niat ikhlas untuk terus berhubung dengan
peminat bagaimanapun turut dicemari insiden kurang menyenangkan apabila
ada peminat berasakan kenyataan balas Yuna terhadap komen mahupun
soalan dimuat naik dalam laman sosialnya itu pedas, sinis dan
menyinggung perasaan mereka.
“Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak pernah kurang ajar, apatah lagi bersikap biadap.
“Yang saya lakukan sebelum ini adalah
memberi pengajaran kepada mereka dan pada waktu sama, mereka boleh
mengenali saya dengan lebih baik,” katanya yang dipetik dari Harian
Metro, di sini, hari ini.
Yuna menjelaskan, ia berlaku kerana ada
pihak tidak memahami dan tidak sensitif. Tindakan itu berlaku kerana
mereka cuba ‘membakar’ emosinya.
Mengenai bahan dimuat naik dalam laman
sosialnya mencetuskan kontroversi seperti hubungannya dengan jurugambar
profesional, Julian Schratter, Yuna memberitahu, dia tidak menganggap
perkara itu sebagai isu.
“Sejak dulu saya tidak gemar bercerita mengenai hal peribadi tetapi kalau ada yang bertanya, saya akan bersikap jujur.
“Begitupun, sewaktu hubungan cinta saya
dan Qi Razali (pemuzik dan pelakon) putus, saya banyak belajar. Saya
memikirkan formula kenapa hubungan itu gagal dan apa yang terbaik untuk
kami,” jelasnya.
Yuna juga akui dirinya sedar dan harus
berpegang kepada kenyataan bahawa sebagai penyanyi dikenali, tentu apa
saja dilakukan akan menarik minat ramai.
“Sudah tujuh tahun saya bergelar artis dan menyertai arus perdana. Saya tidak rimas dengan perkembangan ini dan cukup faham.
“Ada isu dibangkitkan adalah di luar
kawalan kita, namun saya harus ingat bahawa ia sebahagian daripada
kerja, tugas dan tanggungjawab,” katanya.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
0 comments:
Dí lo que piensas...