11 February 2013
PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon
Syamsul Yusof memohon semua pihak memahami tekanan yang dihadapinya
ekoran konflik hubungan dengan bapanya, penerbit filem Datuk Yusof
Haslam.
Syamsul, 29, berkata, konflik tersebut
adalah masalah dalaman keluarga yang tidak perlu diperbesarkan oleh
mana-mana pihak kerana ia membabitkan hubungan anak dan bapa.
“Ini bukan isu besar pun. Masalah dalaman keluarga adalah perkara biasa pada mana-mana orang pun.
“Saya tidak mahu ia diperbesarkan kerana
orang tidak tahu kedudukan sebenar saya dalam hal ini,” luahnya ketika
dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad.
Syamsul berkata demikian sebagai respons
kepada dakwaan kononnya hubungan dua beranak itu semakin renggang
akibat sikap Syamsul yang melenggahkan proses suntingan filem aksi
arahannya berjudul KL Gangster 2.
Bagaimanapun, dalam laporan sebuah
akhbar harian pada awal minggu lalu, Yusof menafikan hubungan mereka
berantakan seperti didakwa.
Sebaliknya, dia sekadar menggertak anak
lelakinya menyegerakan proses suntingan filem terbitan syarikat produksi
mereka, Skop Production itu.
Syamsul berkata, sebagai anak dia
menerima segala teguran yang diberikan bapanya dengan hati terbuka
tetapi mempunyai sebab tersendiri yang membawa kepada penangguhan
suntingan filem tersebut.
“Terguran dan cara papa (Yusof) agak
keras tetapi saya ambilnya dari sudut positif. Mungkin itu caranya untuk
membakar semangat saya.
“Namun, orang luar tidak tahu tekanan sebenar yang saya lalui dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan filem KL
Gangster 2, Syamsul berkata, dia tidak dapat memberikan tumpuan penuh
pada suntingan filem itu kerana turut mempunyai komitmen lain dalam
syarikat keluarganya.
“Saya bukan setakat fokus pada suntingan
filem itu sahaja. Kalau diikutkan, saya terlibat dalam beberapa
komitmen produksi lain di bawah Skop juga.
“Insya-Allah, saya akan terbang semula
ke Bangkok, Thailand dalam masa terdekat. KL Gangster 2 akan dapat
disiapkan dalam masa dua minggu lagi,” hurainya.
KL Gangster 2 dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini.
– mStar Online
0 comments:
Dí lo que piensas...