11 February 2013
GEORGE TOWN – Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata penglibatannya dalam penghasilan klip video sambutan Tahun
Baharu Cina bertujuan mahu membuat kelainan pada sambutan perayaan itu
tahun ini.
Perdana menteri berkata klip video itu
juga sebagai tanda penghargaan dan hormat terhadap kebudayaan masyarakat
Cina di negara ini, oleh itu beliau juga mahu setiap masyarakat agar
saling menghormati budaya setiap kaum.
“Tadi kita tengok video yang sangat
berlainan daripada biasa, mungkin ada yang bertanya kenapa saya buat
video ini. Sebabnya ialah saya mahu buat kelainan tahun ini.
“Ia memberi mesej kepada kaum Cina
bahawa saya menghormati budaya Cina. Seperti mana anda juga harus
menghormati budaya Melayu, anda juga harus menghormati budaya India…
kita juga harus menghormati budaya Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan
ringkas pada majlis Malam Media Tahun Baharu Cina bersama Perdana
Menteri di Hotel G di sini Ahad malam.
Dalam klip video berdurasi kurang satu minit itu, Najib membuat penampilan khas dengan memalu gendang tradisional Cina.
Najib juga menegaskan beliau mahu bersama dengan masyarakat di Pulau Pinang kerana umpama permata, negeri ini penting.
“Saya berjanji kepada rakyat Pulau
Pinang, kami mahu menangani masalah perumahan dan lalu lintas di Pulau
Pinang. Percayalah, janji ini janji ditepati,” katanya.
Pada majlis itu Najib meluangkan masa
beramah mesra bersama kira-kira 300 pengamal media, penyelaras dan ketua
bahagian Barisan Nasional (BN) negeri Pulau Pinang pada majlis sambutan
Tahun Baharu Cina.
Terdahulu, ketibaan perdana menteri
disambut ketua biro dari 16 agensi media, antaranya Pertubuhan Berita
Nasional Malaysia (Bernama), Kumpulan News Strait Times Press, Utusan
Malaysia, The Star, Guang Ming Daily, Sin Chew Jit Poh dan China Press.
Najib yang diiringi Pengerusi BN Negeri Teng Chang Yeow memulakan majlis dengan menggaul yee sang bersama wakil media.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Zainal Abidin Osman,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan
barisan pemimpin BN.
Perdana menteri yang dalam rangka
lawatan dua hari ke Pulau Pinang, sebelum itu menghadiri sambutan
Maulidur Rasul di Masjid Kapitan Keling, sebelum beredar ke kedai Nasi
Kandar Beratur bagi menikmati nasi kandar popular di Pulau Pinang yang
terletak bersebelah masjid berkenaan.
Esok, beliau dijadual menghadiri majlis
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau
Pinang, disusuli dengan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baharu Cina
anjuran BN Pulau Pinang yang dijangka dihadiri kira-kira 80,000 orang.
Pelbagai acara diatur sepanjang majlis
itu berlangsung termasuk persembahan penyanyi terkenal tanah air Shila
Amzah dan penyanyi popular Korea, Psy. - BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...