KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan kepada komuniti perniagaan di Sabah bahawa situasi di Lahad Datu terkawal.

Beliau berkata kerajaan persekutuan menerusi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak komited mengutamakan keselamatan di negeri ini.

"Saya tahu ada yang masih takut dan bimbang terhadap situasi keselamatan di Sabah, terutama di pantai timur.

"Malah, zon keselamatan khas yang dikenali sebagai "Eastern Sabah Security Command" (ESSCOM) diwujudkan, dari Kudat ke Tawau, disokong oleh lima batalion tentera.

"Oleh itu, saya mahu anda (komuniti perniagaan) selesa, hidup seperti biasa dan mengelak daripada mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial," katanya dalam ucapan sempena penyerahan Surat Kelulusan (Lanjutan/pembaharuan Tanah Kolombong), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Sabah (FSM) Datuk Wong Khien Thau dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kota Kinabalu (KKCCCI) Michael Lui.

Mengenai lanjutan pajakan Kawasan Perindustrian Kolombong itu, Musa berkata: "Kami berterima kasih kepada kabinet negeri yang akhirnya bersetuju melanjutkan tempoh pajakan yang melibatkan 167 geran."

Beliau berkata komuniti China menyumbang besar kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Kerajaan negeri menilai sumbangan dan komitmen mereka dalam pembangunan ekonomi tempatan menerusi pelbagai sektor," katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata pembangunan pesat ekonomi Sabah adalah hasil usaha sektor awam dan swasta.

"Sabah berjaya menarik pelaburan langsung asing dan tempatan yang besar sejak kebelakangan ini. Saya yakin kita berjaya menarik sejumlah besar pelaburan disebabkan kerajaan yang stabil, properniagaan serta perbelanjaan berhemat," katanya.

Beliau berkata kemakmuran ekonomi yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada kestabilan politik dan pentadbiran kerajaan yang berusaha  peningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Perpaduan juga merupakan bahan penting untuk kemakmuran ekonomi, bersatu dan menghormati kepelbagaian merupakan gaya hidup di Sabah, yang menjadi model ikutan bagi 1Malaysia, konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

"Perpaduan menerusi 1Malaysia juga membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada perniagaan untuk makmur," kata Musa. - Bernama