Semporna, 14 Mac - Sepasukan polis hari ini memeriksa kawasan
Tanah Perkuburan Kampung Panji di sini dipercayai tempat simpanan
senjata api oleh kumpulan pengganas yang menyerang Kampung Simunul 2 Mac
lepas.
Ketua Polis Daerah
Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata pemeriksaan pada 6.30
pagi itu dijalankan selepas menerima maklumat awam sejak beberapa hari
lepas.
"Hasil pemeriksaan kita, polis tidak menemui sebarang
senjata api. Saya harap penduduk tidak panik, kerana ia merupakan
pemeriksaan biasa," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata
pemeriksaan yang dijalankan kira-kira 100 anggota polis dari unit VAT
69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am dan dibantu
pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna juga bertujuan
mengumpul bukti terhadap kegiatan pengganas sejak beberapa minggu lepas.
Sementara itu, seorang penduduk Jurikun Borneo, 54, berkata ketika
beliau sedang membuka kedai runcitnya pada 6.30 pagi beliau melihat
sepasukan polis sedang memeriksa tanah perkuburan dengan menggunakan
beberapa alat pengesan
senjata.
"Saya nampak sekejap sahaja, tapi ramai anggota polis memeriksa tanah perkuburan itu," katanya. - BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...