Wednesday, March 27, 2013

Pesanan terakhir jadi petanda

27 Mac 2013 JENGKA - “Mak selalu pesan suruh jaga ayah bila dia tiada nanti, namun tidak sangka, mak dan ayah ‘pergi’ bersama-sama,” luah anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di kilometer (KM) 46 Jalan Maran - Bandar Jengka - Jerantut pada jam 9.30 malam kelmarin.

Amir Azuan Nizam Husin, 19, berkata, ibunya, Fatimah Taib, 57, sering meluahkan kata-kata itu setelah menghidap sejenis penyakit misteri sejak lapan bulan lalu.

“Mak menghidap penyakit yang tidak diketahui puncanya dan pernah menggunakan kerusi roda. Disebabkan itu, dia selalu pesan supaya menjaga ayah bila dia tiada nanti.

"Tapi semalam (kelmarin), mak dan ayah pergi meninggalkan kami,” katanya.

Amir Azuan Nizam berkata, ibunya bersama ayahnya, Husin Man @ Othman, 62, yang merupakan peneroka tanah rancangan di sini dalam perjalanan menghantar abangnya untuk bekerja di Kuantan.

Difahamkan, pasangan terbabit terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

“Kali terakhir saya berjumpa mereka, petang semalam (kelmarin) sebelum mereka berangkat ke Kuantan. Mak ada mengajak saya untuk ikut sama, tapi saya menolak.

“Sebelum mak dan ayah berangkat, mereka berpesan kepada saya supaya menjaga rumah serta diri baik-baik. Selain itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan mereka,” katanya yang merupakan anak bongsu dari empat beradik.

Jiran mangsa yang juga Pengerusi Biro Sosial tanah rancangan di sini, Zainol Bahari, 60, berkata, seminggu sebelum kejadian, dia, isteri dan Fatimah merancang untuk pergi berubat di Kampung Lompat, Temerloh.

“Kami naik kereta berasingan. Entah mengapa, Fatimah terlambat dan menghubungi saya memberitahu dia tidak mahu berubat.
"Katanya, tidak payahlah berubat dan biarlah keadaannya begitu. Kata-katanya itu seolah-olah dia sudah tahu yang dia akan ‘pergi’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kereta jenis Iswara dipandu mangsa  dari arah Kuantan, dirempuh dari kanan oleh kereta Myvi dipandu seorang remaja berusia 18 tahun yang keluar dari persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka.

Katanya, suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu Myvi cedera di bahagian lutut dan kini sedang di rawat di Hospital Jengka.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 22 pagi semalam.

Hadir sama, Adun Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

0 comments:

Dí lo que piensas...

Photo of Milford Sound in New Zealand!
Photo of Milford Sound in New Zealand!