13 Mac 2013
SHAH ALAM - Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
bahawa kerajaan pakatan pembangkang berjaya menjamin hak istimewa orang
Melayu dan kedudukan orang Islam dibidas Timbalan Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mendakwa, dosa yang dilakukan kerajaan negeri sekarang ialah menzalimi orang Melayu apabila menolak penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan tidak membela nasib tiga golongan pendidik Islam iaitu guru takmir, guru Kafa dan imam.
Beliau berkata, Abdul Khalid sepatutnya menutup mulut dan tidak perlu mempertikaikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tindakannya itu hanya membuka tembelang kelemahan pentadbirannya sendiri.
“Tindakan kerajaan negeri menolak penubuhan UiTM telah menutup peluang anak Melayu untuk mendapat pendidikan peringkat tertinggi. Malah kerajaan negeri bertindak zalim apabila merampas tanah berkenaan.
Namun mahkamah buat keputusan tindakan itu tidak ikut undang-undang.
“Kerajaan negeri tidak sepatutnya menghalang projek tersebut kerana peruntukan diberikan Kerajaan Pusat dan dibina di atas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) malangnya dihalang oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa, sepanjang PR menerajui Selangor, penggunaan masjid di negeri itu kerap kali diimarahkan dengan pelbagai program keagamaan.
Pada masa sama, Abdul Khalid turut mempersoalkan keupayaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meningkatkan ekonomi orang Melayu ketika melaksanakan dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ia dilihat tidak mencapai matlamat.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan negeri juga tidak membela nasib tiga golongan pendidik Islam terbabit, sebaliknya mereka diletakkan dalam golongan asnaf kerana pendapatan di bawah RM1,500.
“Jika kerajaan negeri melaungkan mereka mempunyai banyak wang, mereka sepatutnya membela nasib golongan ini.
Guru Kafa misalnya, mereka menerima elaun sebanyak RM1,300 sebulan. Kerajaan Pusat memberi RM800, manakala kerajaan negeri RM500.
“Elaun imam sebanyak RM800 yang diberikan kerajaan Pusat, sedangkan kerajaan negeri tak beri apa-apa. Sementara guru takmir mendapat elaun sebanyak RM800, juga diberikan oleh kerajaan Pusat.
Apa yang kerajaan negeri lakukan untuk membantu golongan ini? katanya.
Beliau berkata, kerajaan Pusat memberi peruntukan sebanyak RM37 juta untuk membiayai elaun tiga golongan ini, satu jumlah yang besar jika hendak dibandingkan dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri.
“Abdul Khalid hanya memberikan kenyataan politik kononnya mereka memperjuangkan orang Melayu dan pembangunan Islam, sedangkan mereka sebenarnya tidak berbuat apa-apa,” katanya.
Sementara itu, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak daripada Barisan Nasional (BN) mendakwa, ini kerana, kepincangan itu dilihat jelas memandangkan banyak kontroversi melibatkan dua perkara tersebut dibangkitkan di bawah pentadbiran PR antaranya isu penggunaan kalimah ALLAH kepada bukan Islam dan projek Datum Jelatek.
Beliau mendakwa, kontroversi seperti itu timbul akibat kegagalan kerajaan negeri mempertahankan undang-undang Islam di Selangor, selain tidak berjaya membela nasib orang Melayu.
“Pada zaman (pemerintahan) PR, banyak isu dibangkitkan seperti penjualan arak di kawasan majoriti penduduknya beragama Islam, isu kristianisasi seperti yang terjadi dalam kes Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
“Ada juga kes pengambilan tanah rizab Melayu dan dibangunkan untuk kepentingan komersil dan kegunaan lain seperti yang berlaku dalam kes tanah Yayasan Selangor,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pentadbiran kerajaan negeri.
Sulaiman berkata, semua kepentingan melibatkan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam sepatutnya perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan sesuatu perkara seperti dinyatakan Abdul Khalid.
“Dalam perkara melibatkan agama Islam, bukan sekadar hanya melihat bilangan orang datang ke masjid atau surau, tetapi kena juga lihat aspek spiritual dan kerohanian. Untuk jaminan hak istimewa orang Melayu, ia sepatutnya dilihat dari sudut ekonomi dan kepentingan kaum itu sendiri sama ada ia bertumbuh atau semakin berkurang,” katanya.
Manakala, Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus menggesa Abdul Khalid mengemukakan bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya itu berjaya melaksanakan semua perkara tersebut.
“Banyak perkara yang kerajaan negeri sekarang tidak berjaya laksanakan, bukan setakat isu Islam dan Melayu,” katanya.
0 comments:
Dí lo que piensas...