26 Mac 2013LANGKAWI - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
merasmikan satu daripada pameran pertahanan terkemuka dunia dan
menyatakan rasa kesalnya bahawa beliau terpaksa melakukannya di bawah
mendung suasana pencerobohan pengganas di Sabah.
"Ini pertama kali pasukan keselamatan dikerah bertugas di bumi Malaysia
sendiri sejak 1989," katanya semasa merasmikan Pameran Antarabangsa
Maritim dan Udara Langkawi (LIMA 2013) di sini.
Tahun 1989 menyaksikan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan
menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia lantas
menamatkan ancaman pengganas komunis di negara ini.
Berkongsi rasa dengan para perwakilan dan pegawai tentera negara ini
dan luar negara di LIMA 2013, Najib berkata beliau pernah berkhidmat
sebagai menteri pertahanan, sebagai timbalan perdana menteri dan kini
perdana menteri dan telah berucap pada pameran ini dan yang serupa
dengannya, tetapi ini pertama kali beliau menyampaikan ucapan sebegini
ketika negara menghadapi ancaman pengganas Sulu di Sabah.
Sejak enam minggu lalu insiden itu telah menjadi ancaman keselamatan
terbesar negara sejak berakhirnya pemberontakan komunis, katanya.
Beliau berkata keputusan-keputusan itu memang sukar dibuat kerana
melibatkan kemungkinan kehilangan nyawa dan penghantaran sumber negara
tetapi "ia tidak mencukupi untuk mempersiapkan kita berdepan dengan
situasi seperti yang berlaku di Sabah."
"Apa yang sepatutnya cuma langkah berkawal bertukar menjadi operasi
dengan anggota pasukan keselamatan masing-masing komited dalam usaha
melindungi kedaulatan negara," katanya.
Perdana menteri mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka
yang berkhidmat di Sabah, yang menggunakan kemahiran dan profesionalisme
mereka untuk menamatkan apa yang disifatkannnya boleh menjadi peristiwa
diplomatik.
"Saya menggesa anggota tentera lelaki dan dan wanita yang kini bertugas
di Sabah supaya sentiasa bersiap siaga dan berwaspada. Doa kami
sentiasa mengiringi anda semua.
Pengorbanan anggota keselamatan negara dalam memerangi penceroboh bersenjata ini amat tidak ternilai harganya," katanya.
Najib berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan
anggota keselamatan diberikan kelengkapan terbaik yang termampu
diberikan negara dan bagi membuktikan nyawa anggota yang terkorban dalam
melindungi kedaulatan negara tidak gugur dengan sia-sia.
"Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan terhadap
wira kami yang gugur daripada pasukan polis dan tentera yang telah
menggadai nyawa dalam menunaikan tugas dan tangggungjawab terhadap
negara, serta dalam memastikan keselamatan Malaysia terpelihara. Anda
tidak akan dilupai," katanya.
Mengenai LIMA 2013, Najib berkata program pemodenan ketenteraan terus merangsang perbelanjaan dalam Asean.
"Pemerolehan kapal dan pesawat, pesawat pengesan dan kenderaan perisai
akan terus menjadi fokus pemerolehan di rantau ini dan dijangka
membentuk perbelanjaan utama pemerolehan pertahanan sehingga 2020.
"Menurut (penerbitan pertahanan) Jane's, negara-negara Asia Tenggara
meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka sebanyak 13.5 peratus tahun
lepas dan buat pertama kali perbelanjaan ketenteraan Asia melebihi yang
dirancang Eropah," katanya.
Najib berkata berlatarbelakangkan ini, LIMA 2013 bakal menjadi pintu
masuk bagi pasaran bertenaga ini.Mengenai segmen aeroangkasa, Najib
berkata industri itu akan membangun secara signifikan dalam beberapa
tahun akan datang dengan peningkatan besar dalam perjalanan udara,
pelaburan infrastruktur dan dasar-dasar baru.
Beliau berkata Malaysia, melalui Majlis Aeroangkasa Malaysia telah
berjaya mengemudi pembangunan industri aeroangkasa, dengan jumlah
dagangan kini bernilai RM30 bilion berbanding RM8.2 bilion dalam tahun
1998, dan melibatkan lebih 230 syarikat yang aktif dan tenaga kerja
seramai 65,000 orang.
Selepas ucapan itu, Najib dan kira-kira 500 anggota perwakilan menadah
doa terhadap keselamatan Malaysia, terutama keselamatan dan
kesejahteraan anggota pasukan keselamatan di Sabah. - Bernama
0 comments:
Dí lo que piensas...