PUTRAJAYA - Di tepi jalan, di lorong-lorong belakang serta di bawah pokok ceri. Lokasi ini adalah antara yang menjadi tempat tumpuan pengusaha bengkel automotif yang lazimnya tidak mempunyai modal besar.

Sesetengah premis bengkel ini hanya berbumbung zink serta kanvas dengan lantai yang kelihatan comot dengan tompokan minyak hitam di sana-sini.

Di sebalik kesederhanaan ini, ia tetap menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu mendapatkan khidmat membaiki kereta atau motosikal dengan harga mampu bayar.

Senario ini sudah wujud sejak berpuluhan tahun dahulu walaupun sektor perniagaan bengkel automotif terus berkembang.

Mungkin juga ada pengusaha yang sudah mampu berpindah ke lokasi lebih baik atau premis lebih besar tetapi tidak melakukannya kerana mereka dan pelanggan setia sudah selesa di lokasi itu. Lagipun, jika bertukar tempat mereka kemungkinan kehilangan pelanggan setia.
   
  
TUKAR IMEJ
  
Tetapi sikap "tidak kisah" sesetengah pengusaha bengkel memberi imej yang kurang baik apatah lagi kebanyakan lokasi bengkel tampak 'berterabur'.

Tambahan tidak ada satu pun agensi yang mengawalselia industri pembaikan kereta.

Perkara ini dikongsi oleh Mohd Fariszan Ahmad, Ketua Pejabat Pengurusan Pelaksanaan (DMO), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut beliau, mereka yang mahu membuka bengkel automotif hanya perlu mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kebanyakan pengusaha bengkel memang mempunyai lesen itu.

Cuma, kata Mohd Fariszan, di kebanyakan negeri tidak ada peruntukan kawasan khas untuk bengkel automotif.

"Pengusaha bengkel juga ada yang terlatih dan ada yang tidak terlatih. Ada juga yang menggunakan alat ganti tiruan.

"Isu-isu inilah yang dibincangkan dalam makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini," jelas Mohd Fariszan.


PROGRAM ATOM
  
Statistik yang diperoleh daripada Kementerian menunjukkan terdapat kira-kira 14,000 bengkel kereta yang berdaftar dengan PBT.

Pendaftaran kenderaan juga semakin meningkat seiring dengan pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi yang pesat.

Mohd Fariszan menunjukkan selaras dengan ini terdapat keperluan untuk memodenkan sektor industri perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan automotif.

"Hasil daripada perbincangan dengan industri berkenaan dalam makmal NKEA maka lahirlah apa yang kita sebut sebagai program Pemodenan Bengkel Automotif atau ringkasnya ATOM," jelas Mohd Fariszan.

Di samping mahu memberi imej baru kepada industri berkenaan, ATOM dilihat sebagai pemangkin untuk meningkatkan pendapatan pengusaha bengkel.

Pelanggan turut mendapat faedah daripada usaha memodenkan bengkel itu dalam bentuk perkhidmatan pembaikan yang lebih baik.

Menurut Mohd Fariszan, penyusunan semula industri pembaikan kereta dijangka dilihat memberi impak kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM1.1 bilion setahun.

Di samping itu, ia dijangka dapat mewujudkan 9,100 peluang pekerjaan menjelang 2020.
 
  
MENGENAI ATOM
  
Soal pembiayaan adalah perkara utama yang dibincangkan dalam penubuhan ATOM memandangkan bank komersil tidak mempunyai peruntukan khas untuk bengkel automotif yang dianggap perniagaan yang berisiko.

Kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan program ATOM pada 2011. Pada tahun 2012, kerajaan memberi dana tambahan sebanyak RM10 juta.

Dana itu disalurkan melalui Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat) sebagai pinjaman mudah kepada pengusaha bengkel automotif yang terpilih untuk menyertai ATOM.

"Had pinjaman maksimum kita beri RM100,000 sebab kita tahu hendak beli mesin pun ada yang sampai mencecah RM50,000," kata Mohd Fariszan yang menambah kata Bank Rakyat mengenakan caj perkhidmatan tiga peratus setahun atas baki pinjaman dengan tempoh bayaran balik sehingga 15 tahun.

  
SAMBUTAN BAIK
   

Sejak ATOM dilancarkan, bilangan peserta yang menyertai program ini sehingga 18 Mac 2013 mancapai 192 orang.

Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberi kerajaan kepada KPDNKK untuk ATOM adalah 50 bengkel bagi tahun 2011, 50 bengkel (2012) dan 75 bengkel (2013).

"Kita berjaya mentransformasi 55 peserta pada 2011, 110 peserta pada 2012 dan untuk tahun ini sehingga 18 Mac, seramai 27 peserta," katanya.

Setiap peserta program turut dipantau melalui dua perkara yang ditekankan iaitu sumbangan kepada GNI dan sumbangan kepada kadar pertumbuhan penggajian.

Menurut Mohd Fariszan, prestasi bulan pertama dan kedua selepas menyertai ATOM agak menurun sebab bengkel terpaksa ditutup untuk pemasangan mesin dan kerja-kerja ubahsuai.

Bagaimanapun, katanya, pulangan akan naik balik selepas itu dan setakat ini prestasi peserta ATOM menunjukkan peningkatan pulangan antara 30 hingga 40 peratus.

Peningkatan ini antaranya mungkin disebabkan keadaan bengkel yang lebih baik dan pengusaha sudah mempunyai mesin yang bersesuaian untuk kerja-kerja pembaikan.

"Jadi ini menaikkan keyakinan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan di bengkel berkenaan.

"Daripada apa yang kita lihat, pengusaha bengkel ini tidak perlu dilatih tentang kerja mereka kerana kebanyakannya mempunyai sijil sama ada daripada agensi kerajaan atau swasta.

"Mereka cuma memerlukan bimbingan daripada segi pengurusan termasuk khidmat selepas jualan," tambahnya.
  
  
LEBIH KEMAS
  
Antara faktor lain yang menarik minat pelanggan ke bengkel peserta ATOM adalah penampilan bengkel yang lebih kemas dan tersusun.

"Kalau dulu minyak hitam disimpan dalam tong dengan kesan minyak tersebar hingga ke lantai sekarang kita minta mereka masukkannya dalam bekas yang lebih sesuai supaya kelihatan kemas.

"Lantai pun kalau tak pakai jubin mereka pasang epoxy. Boleh dikatakan bengkel di bawah ATOM setanding dengan bengkel-bengkel besar yang ada," jelas Mohd Fariszan yang turut menekankan pihaknya menggalakkan pengusaha menggunakan alat ganti tulen.

Di samping itu, pihak bengkel juga diminta menyediakan tempat menunggu yang selesa untuk pelanggan sementara menunggu kenderaan mereka diservis.

"Pengusaha bengkel juga dibimbing supaya mewujudkan sistem pengurusan pelanggan untuk memudahkan mereka menyimpan data pelanggan dan membuat tindakan susulan," tambahnya.

Menurut Mohd Fariszan, pengusaha bengkel yang berminat menyertai ATOM boleh menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK di negeri-negeri atau datang sendiri ke pejabat KPDNKK di Putrajaya.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang kementerian www.kpdnkk.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.


ATASI KEKANGAN
  
Satu daripada syarat penyertaan ATOM adalah pengusaha bengkel mesti beroperasi di lot kedai dan sebahagian besar peserta program yang dipilih setakat ini sememangnya beroperasi di lot kedai.

"Yang menjadi sasaran kita ialah mereka yang beroperasi tanpa premis tetap.

Bilangan mereka banyak tetapi setakat ini agak kurang yang berminat menyertai program ini.

"Kalau mereka hendak menyertai ATOM, mereka mesti pindah dulu ke lot kedai dengan bantuan kewangan kita.

"Syarat ini ternyata agak sukar untuk dipenuhi kerana ada pengusaha yang tidak mahu terikat dengan hutang. Mungkin premis yang sedia ada tak perlu bayar sewa dan pelanggan senang nak datang. Kalau pindah bukan sahaja kena bayar sewa tapi juga mungkin agak jauh hilang daripada pelanggan sedia ada," kata Mohd Fariszan.

Bagaimanapun, katanya, pihak beliau akan terus menggiatkan usaha untuk menarik minat pengusaha bengkel serta menyakinkan mereka bahawa ATOM adalah baik untuk mereka.

Usaha ini turut dibantu persatuan automotif antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Pemilik Bengkel Malaysia, Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia, Persatuan Pengedar Tayar Malaysia dan Persatuan Automotif Malaysia (AAM).

Di samping itu, usaha mempromosi ATOM turut dibuat menerusi media termasuk media cetak dan radio.


PENYERTAAN KOPERASI
  
Projek ATOM adalah projek 1Malaysia dan terbuka kepada semua kaum di negara ini.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik terkini ATOM, peserta Melayu adalah yang terbesar iaitu 74 peratus, Cina (21 peratus) dan India (lima peratus).

Bagi meningkatkan penyertaan kaum lain, kerajaan menyediakan satu lagi peruntukan yang disalurkan kepada lima koperasi yang mewakili masyarakat Cina, India, Melayu, dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Koperasi itu adalah Koperasi Jaringan Sepadu Malaysia Berhad, Koperasi Suria Malaysia Berhad, Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad, Koperasi Usahamaju Sabah dan Koperasi Automobil Kuching Sarawak Berhad.

Menurut Mohd Fariszan, kerajaan memperuntukkan RM31 juta kepada koperasi itu untuk program ATOM dan TUKAR (program Transformasi Kedai Runcit) yang dilancarkan pada 2011.


TRANSFORMASI
  
Untuk rekod, ATOM adalah salah satu projek pemula di bawah Program Transformasi Ekonomi atau ringkasnya PTE.

Kerajaan melaksanakan banyak program seperti ATOM bagi membantu golongan yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk meningkatkan prestasi mereka.

"Kita sudah sediakan banyak program, terpulang kepada rakyat untuk merebut peluang yang disediakan," kata Mohd Fariszan. - Bernama