Lahad
Datu, Ahad 17 Mac - Seorang lagi pengganas Sulu dari selatan Filipina
ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Kampung
Tanjung Batu di sini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang
terbunuh kepada 62 orang.
Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata
dua pertempuran berlaku hari ini iaitu pada 9.55 pagi dan 10.15 pagi
apabila pasukan keselamatan bertembung sekumpulan musuh di kawasan itu.
"Pada 10.15 pagi kita sekali lagi bertembung dengan musuh dan salah
seorang daripada mereka berjaya dibunuh manakala tiga yang lain
melarikan diri," katanya dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Polis
Sabah Datuk Hamza Taib di markas operasi Felda Sahabat 16, pada
kira-kira 11 pagi, di sini.
Zulkiple berkata tiga lagi musuh
itu dipercayai masih berada di kawasan Tanjung Batu dan pasukan
keselamatan sedang giat menjejaki mereka. "Mayat musuh yang dibunuh itu
hanya akan dikeluarkan apabila keadaan benar-benar selamat," katanya.
Beliau berkata operasi pembersihan masih giat dijalankan di Kampung
Tanduo dan Tanjung Labian, sebelum penduduk dibenarkan untuk kembali ke
kampung masing-masing dalam tempoh terdekat.
Pasukan
keselamatan juga sedang giat memeriksa dan menggeledah rumah-rumah di
kawasan operasi bagi memastikan tiada musuh berlindung di kediaman
penduduk, kata Zulkiple.
Dalam pada itu Hamza berkata, musuh
kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di sekitar Kampung Tanjung
Batu. Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada
pasukan keselamatan bagi memudahkan usaha menjejaki saki-baki kumpulan
militan tersebut dan tidak memasuki kawasan zon merah demi keselamatan. -
BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...