Sunday, March 24, 2013

Ke Arah Kepolisan Kelas Dunia



Komando 69 Diterbangkan Untuk Sambutan Hari Polis
25 March 2013
KUALA LUMPUR, — Penyetaraan gaji dan gred anggota Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dengan penjawat awam merupakan antara langkah penting ke
arah pelaksanaan strategi Kepolisian Kelas Dunia (WCP).
Strategi itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Dalam Negeri dan
PDRM menyediakan orang ramai dengan perkhidmatan kepolisian lebih baik di bawah
Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Ia juga merupakan penanda aras yang akan memantau input dan hasil PDRM
berbanding dengan pasukan polis di negara maju seperti United Kingdom, Amerika
Syarikat, Jepun dan Hong Kong, dan berfungsi sebagai garis panduan untuk
pegawai kanan polis dan pembuat dasar berkaitan perkara yang perlu diperbaiki
dan bidang utama yang diberi keutamaan.
Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyetaraan
gaji dan gred PDRM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), melibatkan 109,209
anggota dan pegawai polis, dilihat mampu menyuntik semangat dan kesiapsiagaan
anggota PDRM dengan mendapat imbuhan setimpal tanggungjawab mereka.
Penolong Pengarah Pengurusan Maklumat Sumber Manusia Bukit Aman, Datuk
Aishah Mohammad dalam temu bual dengan Bernama berkata selain penyetaraan gaji
dan gred, PDRM juga akan mengkaji deskripsi tugas yang lebih mesra rakyat selari
dengan visi dan misi menjadikan PDRM “agensi peneraju” dalam penguatkuasaan
undang-undang.
Antara program mesra rakyat yang telah dilancarkan ialah program turun
padang pucuk pimpinan PDRM seperti program “tinjuan mesra” serta “omnipresence”
atau kehadiran anggota PDRM di kawasan awam, katanya.
Aishah berkata PDRM juga akan mengkaji semua aspek termasuk sumber manusia,
logistik dan kewangan dalam menjadikan PDRM bertaraf dunia.
Beliau berkata PDRM juga akan memastikan anggotanya bukan sahaja cergas
daripada segi fizikal tetapi juga mahir daripada segi taktikal dan kompetensi
serta mempunyai daya pemikiran bertaraf dunia.
Mereka akan diberikan latihan bersesuaian dengan keperluan zaman moden ini,
selain akan dibekalkan dengan peralatan senjata yang canggih dalam menjalankan
tugasan mereka yang semakin mencabar, katanya.
Katanya perancangan sumber manusia juga akan dilakukan dengan bersistematik
supaya cabaran-cabaran baharu dapat ditangani, dengan semua anggota PDRM perlu
menjalani latihan meningkatkan kecekapan supaya setanding dengan pasukan polis
negara maju.
Aishah berkata pihaknya telah ke Jabatan Polis New York untuk belajar
mengenai pengurusan anggota polis dan penggunaan peralatan dan senjata di bandar
raya Amerika Syarikat itu bagi dijadikan penanda aras bagi PDRM mencapai status
kelas dunia.
PDRM kini berusaha memastikan setiap anggotanya berpengetahuan dalam
melaksanakan tanggungjawab dengan lebih profesional kepada masyarakat, dan yakin
untuk menjalankan rondaan berseorangan dengan dilengkapi senjata serba canggih,
katanya.
Kembali kepada topik penyetaraan gred PDRM dan JPA, katanya ianya amat
sesuai dilaksanakan memandangkan tanggungjawab berat dipikul anggota polis
terutama di peringkat pegawai.
Contohnya serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah memperlihatkan
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mempunyai tanggungjawab yang besar
sebagai ‘ground commander’ untuk menangani isu tersebut.
Beliau berkata pegawai PDRM bukan sahaja bertanggungjawab mengenai
pengurusan, tetapi juga berhadapan dengan pengurusan taktikal dalam menangani
sesuatu kes jenayah.
Selain itu, mereka juga harus mempunyai pemikiran secara menyeluruh termasuk
mengetahui cara untuk menyusun strategi operasi, katanya.
Katanya penyetaraan gred juga akan mengatasi masalah kenaikan pangkat
di dalam PDRM yang sebelum ini hanya bergantung kepada kekosongan jawatan
sahaja dan juga perlu bersaing dengan kemasukan baharu.
“Untuk anggota naik pangkat ke peringkat Superintenden memerlukan sehingga
20 tahun, tetapi bagi sesetengah penjawat awam lain di bawah skim JPA yang baru
masuk tetapi gajinya lebih besar dari Superintenden.
“Paling ketara kepada pegawai polis yang bertugas sebagai ‘ground
commander’,” katanya.
Beliau berkata disebabkan kesukaran untuk naik pangkat, tidak mustahil
seseorang yang cemerlang dalam pekerjaannya boleh patah semangat untuk bekerja
lebih-lebih lagi jika sudah berkhidmat lebih 10 tahun.– BERNAMA

0 comments:

Dí lo que piensas...

Photo of Milford Sound in New Zealand!
Photo of Milford Sound in New Zealand!