Lahad
Datu, 19 Mac - Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan
keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di
kawasan Tanjung Batu, di sini semalam.
Tiada kecederaan dilapor
dalam empat pertempuran antara 8.05 pagi hingga 5 petang itu, kata
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib hari ini.
Beliau berkata dalam operasi semalam, pasukan keselamatan turut menahan
tiga lagi individu di Sandakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan
pengganas, menjadikan jumlah tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah
Khas) 2012 (SOSMA) kini 107 orang.
Segala
laporan siasatan telah siap dan kesemua mereka akan didakwa di mahkamah
dalam tempoh terdekat, katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu
Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di
markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Hamza
berkata operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kawasan kubu
pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini dan pihaknya percaya
bilangan pengganas yang tinggal, kurang daripada 50 orang.
Sementara itu, Ahmad Zaki berkata pasukan keselamatan turut menggunakan
12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak dalam pelbagai
bentuk muka bumi.
"Kami yakin dengan tahap mobiliti, daya
perlindungan dan kemampuan kereta perisai kami dalam melancarkan Operasi
Daulat," katanya.
Krisis pencerobohan pengganas dari Sulu
sejak 12 Feb lepas mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan
manakala seorang anggota tentera maut dalam kemalangan jalan raya ketika
menyertai konvoi Operasi Daulat.
Seramai 62 pengganas ditembak
mati dan 241 orang ditahan kerana memasuki zon merah kawasan operasi
dan pelbagai kesalahan lain. - BERNAMA
0 comments:
Dí lo que piensas...