KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk menghidupkan semula aktiviti berbasikal dalam kalangan masyarakat kota bagi menggalakkan budaya hidup sihat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata untuk itu, DBKL sedang merangka pelan membaik pulih laluan berbasikal di beberapa kawasan di ibu kota yang terabai sebelum ini.

Selain itu, DBKL juga merancang untuk menutup beberapa laluan di kawasan tumpuan ramai seperti KLCC dan Dataran Merdeka pada hari tertentu untuk dijadikan laluan berbasikal, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya aktiviti berbasikal itu bukan sahaja dapat menyihatkan badan tetapi juga membantu mengurangkan pencemaran alam.

"Barangkali dengan permulaan kayuhan pertama saya hari ini dapat menggerakkan semangat dan keinginan masyarakat untuk berbasikal," katanya. 
  
Ahmad Phesal hari ini mengotakan janji untuk berbasikal ke pejabatnya di Menara DBKL di sini, selepas kempen Earth Hour yang berlangsung pada Sabtu lepas disertai 88 bangunan di sekitar ibu kota berbanding sasaran 50 bangunan.

Lengkap berpakaian khas untuk aktiviti berbasikal yang berlogo DBKL serta jaket pantulan cahaya, Ahmad Phesal memulakan kayuhan sejauh enam kilometer itu pada pukul 8.20 pagi dari kediamannya di Changkat Tunku, Bukit Tunku.

Selain Ketua Pengarah DBKL dan ketua-ketua jabatan agensi itu, Ahmad Phesal turut disertai Duta Jerman ke Malaysia Dr Gunter Gruber, Duta Belanda ke Malaysia P.P.J Bekkers dan isteri Agneta serta Ketua Pegawai  Eksekutif World Wildlife Fund (WWF) Datuk Dionysius Sharma.

Mereka melalui Jalan Parlimen, Taman Botani Perdana, Masjid Negara dan Dataran Merdeka sebelum menamatkan kayuhan di Menara DBKL di Jalan Raja Laut. - Bernama