Memori berdarah di Kalabakan
25 Mac 2013
    LEBIH baik mati berperang daripada ditawan.” Itulah luahan seorang bekas anggota tentera yang terlibat dalam peperangan dengan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) di Kalabakan, Sabah pada tahun 1960-an.

Mengimbas detik mencemaskan, Mohammad Nafiah Yahaya, 77, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mereka dengan kekuatan satu platun diserang hendap oleh PKI. Sebelum berlakunya serangan itu, seramai 40 anggota bertugas di kawasan itu sedang sibuk melakukan rutin seharian dan secara tiba-tiba diserang.

“Terkejut dengan serangan itu, kami mengambil tempat masing-masing untuk berbalas tembakan dan berlaku pertempuran yang sangat dahsyat sehingga menyebabkan beberapa anggota terkorban.

“Saya juga terkena beberapa tembakan di bahagian tangan, bahu dan kaki sehingga mengalami kecederaan parah. Tapi saya tetap nekad untuk membalas serangan menyebabkan dua musuh ditembak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pering, Padang Sera, Kodiang, Kedah.

Taktik penyamaran

Mohammad Nafiah yang mula menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1956 hampir terkorban namun dapat diselamatkan selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth yang kini dikenali sebagai Hospital Kota Kinabalu, Sabah.

Mohamad Nafiah berkata, disebabkan pertempuran itu seramai lapan anggota termasuk seorang pegawai terkorban dan selebihnya mengalami kecederaan parah.

“Dua hari sebelum kejadian, kami pernah bermain sukan sepak raga bulat bersama beberapa anggota PKI namun tidak menyangka bahawa tindakan itu merupakan penyamaran mereka.

“Kami diserang habis-habisan dan tiada apa yang difikirkan kecuali membalas serangan. Kami tekad lebih baik mati bertempur daripada ditawan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sedikit melucukan apabila dia turut tersenarai dalam anggota yang terkorban dan perkara itu menyebabkan keluarganya bersedih akibat kehilangannya.

Perangi penceroboh

“Bapa saya bertindak menghimpunkan semua gambar di rumah serta memaklumkan kepada penduduk bahawa saya sudah mati akibat pertempuran di Kalabakan.

“Namun berlaku sedikit kesilapan mengenai maklumat keadaan anggota di sana dan sebaik maklumat berkenaan diperbetulkan ia kembali melegakan seluruh keluarga,” katanya.

Dia berkata, peristiwa Lahad Datu, Sabah tersebut mengingatkannya mengenai pertempuran di Kalabakan yang berlaku pada 29 Disember 1963 yang dilihat seakan-akan sama tujuannya.

“Peristiwa itu telah membangkitkan semangat saya memandangkan kejadiannya dilihat sama dan seandainya negara memerlukan anggota untuk berperang saya sedia berkhidmat.

“Apa yang dikecewakan adalah berhubung kenyataan seorang ahli politik mengatakan bahawa ia adalah hanya sandiwara dan sekiranya benar saya mahu mencabarnya untuk bersama-sama berperang dengan penceroboh itu,” katanya marah dengan kenyataan itu.

Difahamkan, walaupun pernah berkhidmat dalam ATM beberapa tahun lalu dia tidak pernah dianugerahkan pingat dan dia juga memohon sekiranya ada anggota seangkatan yang masih hidup menghubunginya di talian 019-4129172.