KUALA LUMPUR - Lebih 1,000 warga kerja bahagian operasi, Alam Flora Sdn Bhd di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang akan menyertai Program Gotong Royong Mega 1Malaysia 'My Beautiful Malaysia' yang akan berlangsung serentak di seluruh negara Ahad ini.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Mohd Zain Hassan berkata semua pekerja Alam Flora akan berada di tiga wilayah itu bagi menjayakan aktiviti sukarela berkenaan.
  
Katanya Alam Flora turut menyediakan 500 tong sampah serta 100 buah jentera berat sokongan seperti jentera penyedut, penyembur air berkuasa tinggi dan pembersih jalan bagi kerja pembersihan yang perlu dilakukan secara mekanikal.
  
"Aktiviti seumpama ini seharusnya mendapat sokongan padu semua pihak kerana Alam Flora merupakan syarikat bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan oleh kerajaan bagi memastikan negara mempunyai persekitaran bersih dan sihat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
DI Negeri Sembilan, dijangka lebih 50,000 peserta akan menyertai kerja gotong royong membersih sampah, mengecat bangunan dan menanam pokok sempena program itu manakala di Terengganu, kira-kira 30,000 peserta dijangka menyertainya di beberapa lokasi seperti di pantai Batu Buruk, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Pantai Teluk Ketapang, masjid terapung Kuala Ibai dan Pantai Rhu 10 Setiu.  - Bernama