Saturday, February 2, 2013

Berang lif sering rosak


3 Februari 2013


BANDAR SUNWAY – Berang apabila lif kediaman mereka sering rosak, sekumpulan penduduk Pangsapuri Lagoon Perdana PJS 9, dekat sini mengadakan protes secara aman di pintu masuk perumahan itu semalam.

Dakwa penduduk, sejak Badan Pengurusan Bersama (JMB) baru ditubuhkan lima bulan lalu mereka dibebani pelbagai masalah walaupun tidak pernah culas membayar yuran penyelenggaraan sebanyak RM90 setiap bulan.

Yang dikesalkan apabila lif tidak berfungsi, pihak berkenaan seolah-olah tidak mengambil tindakan segera malah membiarkan penduduk terutama orang kurang upaya, warga emas dan ibu mengandung ‘menapak’ menaiki tangga hingga ke tingkat 18.

Penduduk, Asnawi Esahak, 35, berkata, dia pernah terpaksa menginap di hotel lebih seminggu kerana isteri yang mengandung tidak larat menaiki tangga.

Asnawi berkata, ciri keselamatan lain juga langsung tidak dipertingkatkan menyebabkan penghuni di perumahan itu hidup dalam kebimbangan sekiranya kecemasan berlaku.

“Lif di sini sering rosak, menyusahkan penduduk  kerana kadangkala ia berlaku dalam tempoh lama,” katanya.

Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Ahmad Fuzi Khamis, berkata, apabila masalah membebankan diadukan alasan diberi pihak itu adalah penduduk tidak bayar caj penyelenggaraan.

“Pangsapuri ini mempunyai tujuh blok dengan jumlah penduduk kira-kira 10,000 orang, ada 14 lif tetapi hanya sebahagian berfungsi, itupun kadangkala semua tidak berfungsi,” katanya.
Lia Kia Seng, 63, pula mendakwa kecewa kerana diberi layanan buruk oleh pihak pengurusan apabila ingin mengadu masalah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh yang bertemu penduduk semalam berkata, beliau akan bertemu dengan JMB bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah itu.

Katanya, satu mesyuarat dihadiri beliau akan diadakan pada Selasa ini di dewan pangsapuri pada jam 8.30 malam untuk mendengar kesemua aduan penduduk.

Katanya, jika wujud keperluan, penduduk perlu buat surat kepada JMB dan meminta satu Mesyuarat Khas  (EGM) diadakan kerana isu dilihat kritikal.
sinarharian

0 comments:

Dí lo que piensas...

Photo of Milford Sound in New Zealand!
Photo of Milford Sound in New Zealand!